Khamis, 7 Mac 2013

STPM : SPM : PMR : KARANGAN KEPENTINGAN MEMILIKI KESIHATAN YANG BAIK


KEPENTINGAN MEMILIKI KESIHATAN YANG BAIK

Semua orang mengimpikan kesihatan yang baik. Untuk mendapatkan kesihatan yang baik kita perlu menjaga pemakanan agar seimbang dan sentiasa melakukan senaman bagi menyihatkan badan. Kenapakah kesihatan amat baik bagi kita manusia? Jika kita mempunyai kesihatan yang baik terdapat pelbagai faedah yang kita akan perolehi daripadanya.

Pepatah ada mengatakan bahawa 'kesihatan itu lebih baik daripada harta benda'. Jika kita mengalami masalah kesihatan, kita tidak dapat melakukan aktiviti harian dengan selesa. Malah kekayaan yang kita miliki juga tidak dapat kita nikmati sepenuhnya. Sebagai contoh, jika kita menghidap penyakit kencing manis, makanan yang sedap seperti daging dan udang tidak dapat kita makan walaupun kita mampu membelinya. Kita juga tidak dapat melancong ke luar negara walaupun kita mempunyai banyak wang.

Orang yang sihat juga mempunyai badan yang lebih cergas dan bertenaga. Jika seseorang sihat itu bekerja, dia dapat melakukan kerja yang diberi dengan baik dan berkualiti. Di negara kita banyak kempen telah dijalankan bagi mendidik masyarakat untuk menjaga kesihatan diri seperti menjalankan 'Kempen Gaya Hidup Sihat' supaya rakyat kekal sihat dan dapat bekerja dengan gigih. Keupayaan rakyat bekerja dengan gigih akan dapat menjadikan negara maju dalam pelbagai aspek.

Otak yang cerdas juga datangnya daripada badan yang sihat. Otak yang cerdas juga membolehkan kita berfikir dengan rasional apabila menghadapi sesuatu perkara, seterusnya kita akan menjadi lebih kreatif dan inovatif. Sesungguhnya, negara kita amat memerlukan rakyat yang kreatif dan inovatif untuk membolehkan negara menjadi maju dalam bidang sains dan teknologi. Jika kita ingin menjadi pemimpin masyarakat yang berjaya, kita juga mesti mempunyai kesihatan yang baik.

Kesihatan yang baik juga berperanan menjadikan seseorang itu lebih bahagia. Jlka kita sihat, banyak aktiviti yang boleh kita lakukan seperti melancong bersama keluarga. Sesungguhnya, aktiviti yang dijalankan bersama-sama keluarga dapat mewujudkan keluarga bahagia. Sebaliknya, jika kita sakit, kita akan menyusahkan ahli keluarga yang lain. Orang yang tidak sihat akan membebankan keluarga untuk menjaga dan mencari sumber kewangan bagi menampung kos rawatannya.

Orang yang sihat juga dapat menyimpan wang. Orang yang sakit memerlukan wang untuk berbelanja bagi merawat penyakit yang dihidapi. Tambahan pula kos rawatan bagi penyakit yang berbahaya dan kronik amat mahal. Adakalanya rawatan penyakit tersebut hanya terdapat di luar negara. Jika kita sihat, wang yang kita miliki itu boleh digunakan untuk melancong, membuat kebajikan atau membeli barang-barang keperluan yang lain.

Credit : http://www.jomria.com

3 ulasan: