Khamis, 7 Mac 2013

STPM : SEJARAH : DASAR TUTUP PINTU DI SIAM DAN CHINA


DASAR TUTUP PINTU DI SIAM DAN CHINA
Jelaskan dasar tutup pintu yang diamalkan di Siam dan di China pada abad ke-19. 

Pengenalan
-Dasar isolasi atau pemencilan diamalkan oleh kebanyakan negara-negara Asia termasuk China dan Siam. Melalui dasar ini kedua-dua negara memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang hubungan persahabatan atau diplomatik dan enggan mengadakan hubungan perdagangan dengan kuasa-kuasa barat
-Bagaimana pun pada akhirnya Siam terpaksa juga menerima kedatangan barat dengan cara yang baik dengan menandatangani perjanjian Bowring 1855
-Sedangkan pihak China meneruskan dasar tutup pintu hinggakan memaksa pihak Barat membukanya secara paksa melalui perang Candu dan diakhiri perjanjian Nanking 1842.

Dasar Isolasi/ Tutup Pintu Thailand
Thailand mengamalkan dasar isolasi sejak pengasasan Dinasti Chakri oleh Jeneral Chakri
( Raja Rama 1) pada tahun 1782. Thai enggan mengadakan hubungan persahabatan dan
perdagangan dengan kuasa-kuasa barat atas beberapa alasan iaitu :-

-Mempunyai segala keperluan yang mencukupi dan tidak memerlukan sebaran barangan kecuali senjata. Thai hanya berminat berdagang dengan China. Bimbang kuasa Barat akan cuba mengambil kesempatan campur tangan dalam politik tempatan dengan memihak kepada Burma, Vietnam dan Kemboja yang sedang berperang dengan Thailand.

-Raja Rama II (1809-1824) mengadakan hubungan terhad dengan kuasa Barat. Raja Rama II mengadakan hubungan perdangan dengan Portugis menerusi perjanjian dengan Carlos Manuel Silveria pada tahun 1818 di bawah kawalan Thai. Usaha Syarikat Hindia Timur Inggeris untuk mendapatkan kebenaran perdagangan tidak dilayan oleh Raja Siam.

-Keadaan politik di negeri-negeri Melayu Utara naungan Siam memaksa Siam berhubung dengan kuasa Barat terutamanya British. Siam telah campur tangan dalam hal ehwal politik kedah pada tahun 1818 dengan memaksa Sultan Kedah iaitu Sultan Ahmad Tajuddin menyerang Perak yang enggan menghantar bunga emas ke Siam. Sultan Kedah terpaksa menyerang Perak untuk mengelakkan serangan Siam. Sekitar tahun 1821, Siam sekali campur tangan di Kedah apabila Kedah bersekutu dengan Burma menentangnya. Siam bertindak menghantar satu pasukan tentera untuk menyerang Kedah. Sultan Ahmad Tajuddin melarikan diri ke Pulau Pinang untuk meminta perlindungan dan bantuan tentera British. Kesan daripada itu, Siam menghantar John Crowford ke Siam pada tahun1822 untuk mengadakan perhubungan perdagangan dengan Siam. Utusan John Crowford mengalami kegagalan kerana Raja Rama II enggan mengadakan sebarang perjanjian perdagangan dengan kuasa Barat.

-Raja Rama III (1824-1851) terpaksa melonggarkan dasar tutup pintu untuk mengelakkan Siam kehilangan wilayah kepada kuasa Barat. Perubahan sikap ini disebabkan meletusnya Perang Inggeris Burma 1 dan hubungan Inggeris-Siam dengan negeri-negeri Melayu Utara.

-Kesan Perjanjian Yandabo yang menamatkan Perang Inggeris-Burma 1 pada tahun 1826
merugikan Burma dan juga mengancam keselamatan Siam. Raja Rama III bimbang akan menerima nasib yang sama dengan Burma jika Siam degil dan terus mengamalkan dasar tutup pintu. Baginda melonggarkan dasar pemencilan untuk mengurangkan alasan campur tangan British di wilayah-wilayahnya di negeri-negeri Melayu Utara. Raja Rama III merintis jalan dengan mengadakan hubungan persahabatan dan perdagangan dengan kuasa british di Pulau Pinang dengan menandatangani perjanjian Burney pada 20 Jun 1826.

-Namun, dasar buka pintu Raja Rama III tidak kekal lama khususnya selepas kekalahan China dalam Perang Candu pertama (1839-1842). Malahan Siam tidak memperoleh sebarang keuntungan melalui perdagangan dengan kuasa Barat.Justeru Rama III mengubah dasar politiknya dan menghadkan semula hubungannya dengan kuasa-kuasa Barat dengan mengamalkan dasar isolasi. Sekatan perdagangan dengan mengenakan beberapa cukai baru terhadap barang-barang dari luar dan mengawal eksport barangannya. Contohnya, cukai gula dinaikkan kepada hampir 40%. Walau bagaimanapun usaha-usaha kuasa barat untuk membuka pintu Siam berterusan. Pada tahun 1850-an, Britain dan Amerika Syarikat cuba mengadakan perdagangan. Utusan British diketuai oleh James Brooke sementara Amerika Syarikat diwakili Joseph Ballestiar ke Siam. Kedua-dua utusan itu gagal memperoleh sebarang hak wilayah dan perdagangan di Siam.

-Raja Mongkut (1851-1868) menyedari kuasa-kuasa Barat sedang meningkatkan usaha memperluas lingkungan pengaruh masing-masing. Tindakan ini mengancam kedaulatan Siam. Pencerobohan British di Burma dan China membimbangkan kemerdekaan Siam. Raja Mongkut merasakan langkah-langkah positif perlu diambil untuk mengelakkan Siam daripada pencerobohan kuasa-kuasa Barat.

B) Dasar Tutup Pintu China
-Pada peringkat awal China menjalankan hubungan dengan kuasa-kuasa barat, namun hubungan tersebut tidak kekal lama. Hubungan yang terjalin dengan kuasa-kuasa barat sejak abad ke 16 mulai dingin pada abad ke 19. Negara China di bawah pemerintahan Dinasti Manchu mula menjalankan dasar isolasi
-Beberapa peraturan perdagangan yang ketat telah dikenakan ke atas pedagang-pedagang barat. Dasar ini dilakukan oleh China kerana :

a) Bimbang kuasa barat akan mengunakan peluang dari hubungan ini untuk campur tangan
dalam hal ehwal politik tempatan
b) Perluasan agama Kristian dan budaya barat dikuatiri akan mencemarkan agama dan adat
istiadat tempatan di samping merosakkan akhlak masyarakat Cina
c) Negara China dianggap sebagai Middle Kingdom atau Pusat Tamadun Dunia oleh itu
semua negara kecil perlu tunduk di bawah kuasanya. Konsep persamaan taraf yang diamalkan oleh orang-orang barat akan menjatuhkan imej Cina
d) Orang-orang Cina memiliki peradaban yang lebih tinggi berbanding orang-orang barat yang dianggap barbarian atau tidak bertamadun
e) Masyarakat dan kerajaan China menganggap perdagangan merupakan satu pekerjaan
yang hina. Oleh itu perdagangan tidak digalakkan dengan kuasa barat. Keadaan ini
ditambah lagi dengan China yang mengamalkan ekonomi sara diri. Oleh itu China tidak
memerlukan barangan dari barat kerana mereka mempunyai kawasan yang luas dan
kaya dengan pelbagai sumber

-Bermula pada abad ke 19 kuasa-kuasa barat mula memperlihatkan keinginan yang kuat untuk menjalankan perdagangan di China iaitu untuk menjadikan China pasaran barangan keluaran mereka atau mendapatkan barang-barang dagangan seperti teh dan sutera

-Perdagangan di China sangat terikat dengan perdagangan Canton dan sistem perdagangan ini bukan sahaja menggambarkan dasar ekonomi tertutup tetapi juga anggapan China bahawa mereka adalah negara Middle Kingdom yang tidak memerlukan perdagangan dan barangan luar

-Sistem di Canton memperlihatkan sifat monopoli. Kerajaan telah memberikan kuasa perdagangan hanya kepada 13 buah firma komersil yang dikenali sebagai Hong yang bertindak sebagai agen jualan. Antara firma yang penting ialah Tungfoo dan Kwonglei

-Firma yang mengendalikan pedagang-pedagang dari Eropah dan Amerika Syarikat dikenali
sebagai Wai Yang. Bagi Asia Tenggara pula dikenali sebagai Peng Kang Hang. Untuk
mengukuhkan firma ini maka pertubuhan pedagang yang dikenali sebagai Cohong telah ditubuhkan dan menjalankan aktiviti mereka berdasarkan 13 perkara tentang harga barangan dan perkaraperkara yang bersangkutan dengan perdagangan

-Sehubungan itu pelbagai sekatan telah dikenakan oleh pihak China. Maharaja Chien Lung telah mengeluarkan Lapan Peraturan yang menghadkan perdagangan orang-orang barat di China antaranya:

a) Orang-orang barat hanya dibenarkan berdagang di Pelabuhan Canton sahaja
b) Orang-orang barat dikehendaki berdagang melalui Cohong yang merupakan wakil perdagangan yang dilantik untuk mengendalikan perdagangan dengan orang-orang asing
c) Cohong bertanggungjawab memonopoli perdagangan, mengenakan tarif barangan, serta menguruskan pengedaran barang dagangan
d) Saudagar-saudagar barat dikehendaki pulang ke Macao setelah tamat musim perniagaan
e) saudagar-saudagar dilarang mengahwini wanita tempatan
f) Saudagar-saudagar barat tidak membawa masuk isteri dan senjata api ke China
g) Orang-orang barat juga tidak dibenarkan mempelajari Bahasa Cina
h) Orang-orang asing tidak dibenarkan menggunakan sungai dengan bebas dan hanya dibenarkan melawat Taman Bunga sahaja

-Peraturan-peraturan ini menyukarkan pedagang-pedagang barat untuk berdagang dan
menyebabkan hubungan kedua-duanya tegang dan perang telah meletus.

Kesimpulan
Negara China dan Siam mengamalkan dasar tutup pintu atas sebab-sebab tertentu. Kedua-dua negara tidak memerlukan barangan dari luar. Yang membezakan dasar isolasi kedua-dua negara ialah boleh dikatakan bahawa dasar isolasi China lebih kepada sesuatu yang total dan mutlak. Dasar isolasi Siam pula sentiasa berubah-ubah mengikut perkembangan politik dan dasar pemerintahannnya.


Credit : http://sejarah4ppudms.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan