Jumaat, 6 April 2012

SPM / STPM : Karangan Transformasi Pendidikan Negara

Format Karangan STPM

Soalan : 
2. Sistem pendidikan negara telah mengalami beberapa evolusi sejajar dengan pembangunan dan keperluan negara. Jelaskan peranan kerajaan untuk merealisasikan transformasi sistem pendidikan negara pada alaf baharu ini.


Karangan Penuh

Apabila kita membaca akhbar, kita sering didedahkan dengan berita berkenaan transformasi sistem pendidikan negara pada alaf baharu ini. Secara umumnya, transformasi pendidikan negara dapat dijelaskan sebagai satu perubahan dalam sistem pendidikan negara. Sebelum ini, isu berkenaan transformasi pendidikan negara tidak banyak didedahkan oleh media untuk tatapan umum. Jika ada, ia hanya sekadar perbincangan tidak rasmi di kedai kopi atau warung kecil di pinggir jalan. Walau bagaimanapun, statistis telah menunjukkan berlakunya peningkatan laporan berkenaan kemorosotan keputusan pelajar dalam pendidikan negara seperti yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Perkara ini turut ditegaskan oleh Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyddin Yassin dalam majlis yang dihadiri beliau baru-baru ini. Transformasi sistem pendidikan negara alaf baharu ini diperlukan melalui peranan yang diberikan oleh pihak kerajaan.

Salah satu langkah transformasi pendidikan negara ialah memperkenalkan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK). Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan dapat dijelaskan sebagai transformasi pendidikan negara yang tidak lagi berorentasikan terhadap peperiksaan sepenuhnya sebagai langkah tepat bagi melahirkan modal insan holistik. Apabila Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) diperkenalkan, pelajar sudah pasti mendapat peluang yang seimbang terutamanya mereka yang kurang cemerlang dalam akademik untuk menonjolkan diri dalam aspek kepimpinan, sahsiah diri dan komunikasi kerana Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) memasukkan elemen kecerdasan akademik, sahsiah pelajar dan penglibatan dalam kokurikulum sebagai penentu gred peperiksaan awam. Oleh itu, melalui SPPK penilaian kecemerlangan pelajar berasaskan peperiksaan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat dikurangkan. Transformasi melalui Sistem Pentaksiran Kebangsaan (SPPK) telah dapat dipertingkatkan dan terbukti melalui pencapaian akademik pelajar yang semakin menunjukkan peningkatan seperti yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini. Hal ini jelas menunjukkan bahawa transformasi pendidikan negara dapat dilakukan dengan cara memperkenalkan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK).

Selain itu, transformasi pendidikan negara juga dapat dilakukan dengan cara memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Teknologi maklumat dan komunikasi dapat dijelaskan sebagai teknologi yang berkaitan dengan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat melalui penggunaan teknologi komputer dan telekomunikasi. Apabila penekanan terhadap penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi diberikan, negara akan melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan, celik Teknologi Maklumat dan Komunikasi  (ICT), berkemahiran bagi menghadapi cabaran baru kesan dalam dunia serba maju dan moden ini. Mahu tidak mahu kita tidak boleh menyingkirkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam era globalisasi yang dikenali sebagai Dunia Tanpa Sempadan. Ledakan maklumat yang menjadi pemangkin kemajuan ICT ini memungkinkan kita untuk terus bersaing. Transformasi pendidikan melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dapat diberi penekanan dengan menyalurkan maklumat dan membekalkan pengetahuan dan ini terbukti dengan wujudnya dasar dalam menjayakan wawasan 2020 untuk menjadikan rakyat Malaysia berpengetahuan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa transformasi pendidikan negara dapat dilakukan melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dengan lebih meluas.
Di samping itu,  transformasi pendidikan juga dapat dibuat dengan cara meluaskan akses kepada pendidikan prasekolah yang berkualiti dan berkemampuan. Pendidikan prasekolah dapat dijelaskan sebagai pendidikan yang tidak formal dan fleksibel. Kaedah pembelajaran dan pengajarannya menggunakan pendekatan belajar melalui bermain. Aktiviti yang dirancang menitik beratkan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, bersepadu dan seimbang. Apabila peningkatan kadar penyertaan kanak-kanak yang berumur 4 dan 5 tahun ditingkatkan daripada 67 peratus kepada 87 peratus pada tahun 2012, kanak-kanak yang berumur 4 dan 5 tahun lebih cepat terdedah dengan pendidikan di alam persekolahan yang lebih meluas serta meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah. Oleh itu, kanak-kanak yang berumur 4 dan 5 akan diberikan pendidikan awal dan ini akan melahirkan generasi kanak-kanak yang cemerlang. Penyertaan kanak-kanak yang berumur 4 dan 5 dapat dibuktikan melalui penyertaan semua kanak-kanak normal melangkah masuk ke sekolah dengan boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sewaktu sekolah rendah. Hal ini jelas menunjukkan bahawa penyertaan kanak-kanak berumur 4 dan 5 dapat dipertingkatkan dengan cara memperluaskan akses kepada pendidikan prasekolah yang berkualiti dan berkemampuan.

Dalam pada itu, transformasi pendidikan juga dapat dilakukan dengan memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik. Pendidikan Vokasional dan Teknik dapat dijelaskan sebagai pendidikan melalui latihan pendidikan bercorak kemahiran pra vokasional dalam usaha untuk menyediakan mereka memenuhi permintaan pasaran pekerjaan pada masa hadapan. Apabila Pendidikan Vokasional dan Teknik dijadikan teras untuk mempertingkatkan kemahiran pelajar khususnya tenaga kerja dalam negara, mereka akan lebih terdedah dengan pengetahuan asas dan kemahiran bagi memenuhi keperluan sektor industri dan perdagangan dalam dan luar negara. Oleh itu, pelajar akan lebih mudah mendapatkan pekerjaan sebagai tenaga mahir dan separuh mahir dalam sektor perindustrian, perdagangan dan pertanian. Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha antaranya melaksanakan program formal pendidikan teknik dan vokasional melalui agensi-agensinya iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia Dan Sukan, dan MARA dan telah melahirkan tenaga mahir dan separa mahir di bidang teknikal dan vokasional disamping pengetahuan teknologi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan Teknik dan Vokasional dapat dipertingkatkan melalui pendedahan awal ketika di usia remaja lagi.

Sehubungan dengan itu, tranformasi pendidikan juga dapat dilakukan dengan memantapkan sistem pendidikan negara berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dapat dijelaskan sebagai satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan.  Transformasi berkenaan membabitkan perubahan dalam bentuk, kandungan penjadualan waktu dan penekanan kepada pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan ianya akan memberi penekanan yang lebih kepada pentaksiran berasaskan sekolah, meningkatkan penglibatan murid dalam kokurikulum dan kegiatan luar bilik darjah. Oleh itu, sifat dan peribadi kental di kalangan murid melalui transformasi sistem pendidikan negara berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang lebih efektif dapat diperkukuhkan. Anugerah "Tokoh Kanak-kanak", "Pingat Hang Tuah", "Olahragawan dan Olahragwati" dan lain-lain anugerah menunjukkan nilai-nilai murni yang disemai dan keberkesanannya dalam penerapan nilai murni melalui Falsafah Pendidikan Negara ini berhasil. Hal ini jelas menunjukkan melalui negara sistem pendidikan negara berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) akan melahirkan seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.

 Kesimpulannya, tranformasi sistem pendidikan telah telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kemajuan dalam sistem pendidikan negara kita selama ini. Antara peranan yang dimainkan oleh kerajaan dalam merealisasikan transformasi pendidikan negara ialah memperkenalkan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK), memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, meluaskan akses kepada pendidikan prasekolah yang berkualiti dan berkemampuan, memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik, dan memantapkan sistem pendidikan negara berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Oleh sebab pelbagai usaha telah dilakukan dalam merealisasikan tranformasi pendidikan negara, pelbagai kesan positif telah diterima. Antaranya adalah peningkatan mendadak keputusan pelajar dalam Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia serta menaikkan nama negara dalam melahirkan generasi muda yang berilmu dan bekerjaya. Perkara ini pernah ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam ucapan beliau sempena Hari Guru, Guru Penjana Transformas Pendidikan Negara baru-baru ini. Oleh itu, semua pihak, iaitu orang perseorangan, pelajar, masyarakat umum, pihak swasta, kementerian dan kerajaan sendiri hendaklah bekerjasama antara satu sama lain untuk merealisasikan transformasi pendidikan negara ini. Kerjasama ini amat penting dan bersesuaian pula dengan pelaksanaan konsep 1Malaysia.

Bibliografi
: Mohd Izani Mohd Zain, Melahirkan Modal Insan Bertaraf Dunia, Artikel Dewan Masyarakat, M/s 22-24
: Mohd Zamberi Othman, KSSR penuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Artikel Berita Harian, Sabtu, 20 Ogos 2011, M/s 11
: Kulan Salleh, Strategi Bagi Menjayakan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Julai 2010,
http://kulanzsalleh.com/strategi-bagi-menjayakan-dasar-pendidikan-kebangsaan/2/
: Mohd Asron Mustapha, Transformasi Pendidikan Langkah Tepat, Artikel Utusan Malaysia, 20 April 2009