Rabu, 13 Februari 2013
SPM: Langkah-langkah memartabatkan Bahasa Malaysia
Langkah-langkah memartabatkan Bahasa Malaysia
'Bahasa jiwa bangsa', itulah frasa yang paling sesuai untuk melambangkan signifikan sesuatu bahasa kepada bangsa-bangsa di Malaysia. Pelbagai polemik telah dibangkitkan sejak akhir-akhir ini bagi membicarakan identiti Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan bagi sebuah rumpun bernama Malaysia. Bahasa Malaysia telah diadaptasikan daripada frasa asal 'Bahasa Melayu' yang disifatkan berjiwa perkauman sekaligus tidak relevan dengan gagasan 1 Malaysia. Namun begitu, apakah inisiatif yang perlu dilaksanakan demi memartabatkan Bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat?
Langkah-langkah yang patut diambil termasuklah menggesa semua urusan rasmi dan surat-menyurat di semua jabatan kerajaan diimplimentasikan dalam bahasa ibunda. Mutakhir ini, jabatan-jabatan kerajaan lebih gemar memilih Bahasa Inggeris yang dianggap berdarjat tinggi berbanding Bahasa Malaysia untuk digunakan dalam urusan syarikat mereka. Sifat nafsi yang menggunung dalam jiwa mereka wajar diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana mereka persis mengenepikan sebuah bahasa yang telah mendewasakan pemikiran mereka. Oleh itu, pihak-pihak ini haruslah menjaga martabat Bahasa Malaysia supaya tidak hilang ditelan zaman.
Selain itu, idea Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) juga harus dilupuskan. Sifat dominan bahasa Inggeris dalam kehidupan kita tidak harus dinafikan, tetapi langkah ini dilihat berpotensi memadamkan kegemilangan Bahasa Malaysia di peringkat lokal.Jika teras pentarbiahan turut dilaksanakan dalam bahasa asing, tidak mustahil pada satu era nanti, generasi akan datang tidak mengenali lagi perkataan 'melayu'. Ironinya, usaha Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilihat sangat proaktif sebagai mangkin yang efektif demi membejat kemelut bahasa yang sedang dihadapi Malaysia kini.
Sementelahan pula, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil juga tidak harus dikerling enteng berikutan perkara tersebut berkemampuan memperkasakan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil lantas menjatuhkan darjat bahasa ibunda di sekolah-sekolah berkenaan. Jika dilihat dari perspektif berbeza, hal ini dapat menimbulkan nafsi perkauman bahkan tidak sejajar dengan penerapan 1 Malaysia dalam kalangan masyarakat. Maka, polemik ini mungkin tidak dapat mencapai objektif kemenjadian bahasa sebagai agen perpaduan yang utuh bagi semua rakyat di negara ini. Tuntasnya, pihak-pihak yang berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) harus berfikir secara kreatif dan kritis demi menaikkan imej bahasa ibunda secara holistik.
Di samping itu, bagi mengukuhkan kedudukan Bahasa Malaysia dalam sanubari rakyat rencamangolongan, DBP harus melaksanakan pelbagai aktiviti yang menggapai minat umum terhadap keindahan Bahasa Malaysia. Aktiviti seperti Sayembara Pidato Antarabangsa anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Pelancongan dengan usahasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini dilihat sebagai anjakan paradigma yang berpotensi memperkenalkan bahasa kebangsaan di peringkat dunia. Deduksinya, langkah yang sama harus diambil DBP untuk mewujudkan 'jiwa bahasa' dalam kalangan rakyat.
Mendepani arus globalisasi kini, pelbagai perubahan serta modifikasi yang sudah dilaksanakan terhadap Bahasa Malaysia asal sehingga terbentuk bahasa rojak. Lihat sahaja di kiri dan kanan jalan raya serta di bangunan-bangunan pencakar langit, banyak papan tanda memaparkan penggunaan bahasa rojak. Perkara ini tidak patut dibiarkan berlarutan kerana keupayaannya untuk mencemarkan bahasa adalah tinggi. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak harus berpeluk tubuh dan mendiamkan diri, sebaliknya perlu mengambil tindakan undang-undang bagi menyedarkan pihak berkenaan bahawa Bahasa Malaysia bukanlah sebuahwadah mainan komersial. Oleh itu, 'pidana bahasa' ini perlu dibejat bagi mewujudkan rakyat kontemporariyang berpegang teguh dengan bahasa ibunda.
Konklusinya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga untuk meledakkan darjat Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan harian, selain status utamanya sebagai bahasa kebangsaan. Janganlah kita menjadi manusia yang khusyuk menyelami sungai pemodenan dengan mementingkan bahasa asing sebaliknya menidakkan kebolehan Bahasa Malaysia untuk membawa kita ke mata dunia. Pepatah Melayu ada disebut, 'yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa'. Oleh hal yang demikian, marilah kita berpijak di bumi yang nyata dengan menjaga bahasa kebangsaan supaya kekal nirmala dan 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.
597 patah perkataan
-oleh Amirul Rezza
Sempena Minggu Bahasa Kebangsaan
peringkat sekolah
SINONIM
1. signifikan: kepentingan
2. diadaptasikan: diubah suai
3. relevan: rasional, benar
4. menggesa: mendesak, mengarahkan
5. diimplementasikan: dilaksanakan
6. nafsi: pentingkan diri
7. dominan: berpengaruh
8. ironinya: sebaliknya, yang bertentangan
9. mangkin yang efektif: usaha yang berkesan
10. proaktif: maju
11. membejat: mengekang, mengatasi
12. sementelahan pula: tambahan lagi
13. kemenjadian: perihal menjadi, perihal sesuatu
14. agen perpaduan: pengaruh kesepunyaan kaum
15. nafsi perkauman: sifat kesepunyaan kaum
16. holistik: menyeluruh
17. rencaman: pelbagai
18. wadah: alat
19. kontemporari: zaman kini, era baru
20. meledakkan: meninggikan
credit to : http://pengkelanajiwa.blogspot.com/2012/01/langkah-langkah-memartabatkan-bahasa.html
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Suckz
BalasPadam