Ahad, 9 Ogos 2015

SPM/STPM : Karangan Aktiviti Dan Langkah Menarik Aktiviti Perlancongan Negara

SPM/STPM : Karangan Aktiviti Dan Langkah Menarik Aktiviti Perlancongan Negara
- Aktiviti Perlancongan Negara


             Apabila kita membaca akhbar, kita sering didedahkan dengan iklan berkenaan produk-produk pelancongan yang menarik perhatian pelancong asing untuk datang ke Malaysia . Secara umumnya, isu berkenaan produk-produk pelancongan  dapat dijelaskan sebagai keindahan dan kecantikan pelancongan di Malaysia yang menjanjikan pengalaman yang amat menyeronokkan kepada mereka yang datang berkunjung. Sebelum ini, isu berkenaan tidak banyak didedahkan oleh media untuk tatapan umum. Jika ada ia hanya perbincangan tidak rasmi di kedai kopi atau warung kecil di pinggir jalan. Walau bagaimanapun, statistik telah menunjukkan peningkatan jumlah kes berkenaan produk-produk pelancongan yang menarik kedatangan pelancong asing seperti yang telah dikeluarkan oleh kementerian pelancongan. Perkara ini turut ditegaskan  oleh YB. Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen  dalam majlis yang dihadiri beliau baru-baru ini. Pelbagai produk pelancongan ditawarkan di Malaysia dan pelbagai langkah-langkah perlu di ambil untuk mengembangkan industri pelancongan Negara kita.


             Salah satu produk yang dapat menarik pelancong asing datang ke Malaysia ialah dengan penghasilan produk kraf tangan yang menarik.  Produk kraf tangan yang menarik dapat dijelaskan sebagai produk yang mampu menarik pelancong asing untuk melihat dan membelinya. Terdapat pelbagai pilihan produk kraf tangan yang berasakan buluh, rotan dan mengkuang seperti kerusi, tudung saji dan tikar. Kebanyakan kraf tangan dapat menarik pelancon asing kerana kraf tangan memerlukan ketelitian yang tinggi untuk menghasilkannya serta cara penghasilannya yang unik. Oleh itu, produk kraf tangan masih dikekalkan bertujuan untuk memartabatkannya di Malaysia. Produk kraf tangan sering mendapat kunjungan daripada pelancong asing yang ingin menjadikannya sebagai perhiasan rumah atau sebagai kenang-kenangan seperti yang dilaporkan oleh akhbar Kosmo. Hal ini jelas menunjukkan bahawa produk kraf tangan mampu menarik pelancong asing untuk datang ke Malaysia.


             Salah satu produk-produk pelancongan yang boleh menarik pelancong asing datang ke Malaysia ialah produk seni budaya. Produk seni budaya dapat dijelaskan sebagai sesuatu produk yang mampu memikat hati masyarakat seluruh dunia. Apabila produk-produk pelancongan di Malaysia dapat memikat hati hati masyarakat seluruh dunia,hal ini mungkin akan menaikkan nama negara Malaysia di mata dunia. Oleh itu, Menteri Pelancongan perlulah bergiat aktif dan bekerjasama dengan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan agar berkembang maju. Contohnya,mengadakan festival mengenai kesenian. Produk seni budaya yang berpunca daripada matlamat kerajaan yang mengamalkan kepelbagaian strategi dalam memenuhi cita rasa pelancong yang gemarkan sesuatu yang unik telah berlaku di Negara ini seperti yang telah dilaporkan oleh akhbar berita Harian Malaysia baru-baru ini. Hal ini jelas menunjukkan bahawa produk-produk pelancongan yang boleh menarik pelancong asing datang ke Malaysia ialah produk seni budaya.


             Salah satu langkah yang perlu diambil untuk memajukan industri pelancongan ialah menambah kemudahan pengangkutan dan perhubungan ke destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Kemudahan pengangkutan dan perhubungan dapat dijelaskan sebagai kemudahan yang disediakan kepada orang awam dan pelancong untuk bergerak ke satu tempat ke tempat lain. Apabila pelancong menggunakan kemudahan pengangkutan dan perhubungan yang disediakan, pelancong dapat menggunakan peluang yang lebih banyak untuk pergi ke destinasi yang mereka sukai. Oleh itu, pelancong dapat melawat lebih banyak tempat-tempat menarik di seluruh negara dan berasa selesa apabila berkunjung ke Malaysia. Sebagai contohnya, kerajaan telah membina kemudahan lebuh raya baru ke Cameron Highland agar pusat pelancongan ini mudah dikunjungi pelancong. Jadual penerbangan ke Malaysia juga perlu ditambah terutama dengan mengadakan promosi tambang murah kepada pelancong asing yang ingin melawat ke Malaysia.  Hal ini jelas menunjukkan bahawa kemudahan pengakutan dan perhubungan sedia ada perlu ditambah bagi menarik lebih banyak pelancong berkunjung ke Malaysia.


             Selain itu, langkah lain untuk menarik pelancong juga boleh dilakukan dengan mengadakan pameran kejohanan sukan bertaraf dunia. Pameran dapat dijelaskan sebagai suatu kegiatan untuk mempamerkan hasil kerja yang telah siap dibina bagi sebagai rujukan dan panduan kepada orang ramai dalam proses pembinaannya dan untuk menarik perhatian orang ramai untuk mengunjunginya. Apabila pameran kejohanan besar dilakukan, negara dapat menarik pelancong luar untuk mengunjungi Malaysia disamping dapat mengekalkan pulangan yang diperoleh daripada kedatangan pelancong ke negara kita.  Oleh itu, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan tanpa menunggu musim-musim tertentu sahaja . Contoh pameran bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA), Kejohanan Kereta Formula Satu dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa dengan mengadakan pameran kejohanan sukan bertaraf dunia, negara akan menarik lebih banyak pelancong luar untuk mengunjungi Malaysia.


             Di samping itu, langkah lain juga ialah memajukan industri pelancongan ialah mengadakan kempen-kempen dan promosi pelancongan. Mengadakan kempen-kempen dan promosi pelancongan dapat dijelaskan sebagai salah satu daya tarikkan para pengunjung untuk datang melancong dinegara ini. Apabila Kementerian Pelancongan boleh mengadakan kempen ini di dalam atau di luar negeri,pusat-pusat penerangan pelancongan serta rombongan-rombongan kebudayaan dan kesenian ke luar negara harus ditambah. Program seumpama Cuti-cuti Malaysia oleh TV3 perlu diteruskan agar masyarakat mengetahui keindahan negara kita. Ini sekali gus akan mendorong mereka untuk melancong dan berehat di sini. Kempen-kempen dan promosi pelancongan adalah langkah untuk memajukan industri pelancongan pada masa kini isu ini berlaku di negara ini sendiri seperti yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kempen-kempen dan promosi pelancongan adalah satu langkah yang baik untuk meningkatkan lagi  industri pelancongan di negara ini.


             Kesimpulannya, produk pelancongan yang menarik dan langkah yang berkesan boleh menarik perhatian pelancong asing untuk mengunjungi Malaysia. Antara produk pelancongan yang ditawarkan di Malaysia untuk menarik perhatian pelancong asing ialah dengan penghasilan produk kraf tangan yang menarik dan melalui produk seni budaya. Langkah menarik perhatian pelancong pula ialah menambah kemudahan pengangkutan dan perhubungan, dan mengadakan pameran kejohanan sukan bertaraf dunia. Oleh sebab pelbagai langkah bagi menarik pelancong luar mengunjungi Malaysia telah dilakukan, pelbagai kesan positif telah diterima negara antaranya ialah dapat meningkatkan pendapatan negara melalui pengaliran masuk wang asing ke negara kita dan dapat memperkenalkan Malaysia kepada pelancong luar. Perkara ini pernah ditegaskan oleh YB. Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen dalam ucapan beliau sempena  cuti-cuti Malaysia. Oleh itu, semua pihak, iaitu orang perseorangan, masyarakat umum, pihak swasta dan kerajaan sendiri hendaklah bekerjasama antara satu sama lain untuk menarik perhatian pelancong asing supaya datang ke Malaysia. Kerjasama ini amat bersesuaian pula dengan Pelaksanaan konsep  1 Malaysia.



Bibliografi :
1. http://mazlan66.wordpress.com/2009/05/23/langkah-langkah-memajukan-industri-pelancongan-negara/
2. Berita Harian, Pengangkutan Rakyat Ditingkat, Johaari Ibrahim, 06/01/2012
http://www.bharian.com.my/articles/Pengangkutanrakyatditingkat/Article/

2 ulasan: