BAHAGIAN A.
1. PANDUAN MEMBUAT RINGKASAN BAHASA MELAYU PMR. ( 20 MARKAH )
- Jumlah perkataan- 80 perkataan sahaja ( tulis di bahagian bawah sebelah kanan ).
- Perenggan- 1 perenggan. Tiada pengenalan dan kesimpulan.
- Jumlah isi- 5-6 isi sahaja.
- Sintaksis- ringkas & padat.
- Dilarang menyalin bulat-bulat ayat dalam teks soalan. Cara membina ayat sendiri ialah dengan
i. menukar dengan perkataan yang sama makna/ seerti.
ii. Menambahkan penanda wacana di pangkal ayat.
- Mesti ada 3 penanda wacana ( Selain itu, Sehubungan dengan itu, Justeru, Dalam pada itu, Oleh hal yang demikian, Di samping itu, Namun demikian, Walau bagaimanapun).
- Pengiraan perkataan berikut- SATU PATAH PERKATAAN SAHAJA.
Kata nama khas- nama orang, tempat, judul buku dll
Kata sendi- kepada, daripada, ke, dari.
Kata hubung- biarpun, sungguhpun, walaupun, dll.
Penanda wacana- Selain itu, Sehubungan dengan itu, Justeru, dll
Kata ganda- murid-murid, kuih-muih, hormat-menghormati dll
Kata majmuk- beg tangan, kereta api, adat istiadat dll
Tarikh- 20 April 2007
- Jangan buat pendahuluan dan penutup
- Jangan masukkan contoh.
- Jangan masukkan pendapat sendiri.
11. Sila semak kesalahan ejaan, tatabahasa dan tanda baca sebelum menghantar kertas
jawapan anda kepada pengawas peperiksaan.
12. Pemarkahan ringkasan.
Markah isi ( 10 markah )- 1 isi = 2 markah.
Bahasa ( 10 markah ).
- Bahasa amat baik dan cukup lancar.
- Pembinaan ayat berdasarkan kata yang tepat, ayat gramatis.
- Penanda wacana yang sesuai.
- Ejaan dan tanda baca yang betul.
13 . Kelemahan pelajar membuat ringkasan
- Bahasa kurang lancar.
- Ayat, ejaan dan tanda baca mempunyai kesalahan ketara.
- Memilih ayat dalam petikan atau disalin terus daripada petikan asal.
- Melebihi 80 patah perkataan.
- Isi kurang.
- Pelajar menyalin bulat-bulat teks.Jangan amalkan perbuatan ini. BAHAYA. Markah
anda akan ditolak sebanyak 50%.
14. Contoh soalan ringkasan
i. Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis suatu ringkasan tentang
usaha-usaha memupuk sifat penyayang dalam kalangan masyarakat.
ii. Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis suatu ringkasan tentang
langkah-langkah berjimat cermat. ( PMR 2006 ).
iii. Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis suatu ringkasan tentang
kesan-kesan buruk pencemaran alam sekitar.
iv. Tulis sebuah ringkasan tentang faktor-faktor para pelajar kurang berminat
untuk mengunjungi perpustakaan di sekolah.
v. Tulis sebuah ringkasan tentang usaha-usaha untuk mencapai kegemilangan
sukan di negara kita.
2. Panduan menjawab soalan kefahaman ( 10 markah ).
Soalan 1. Maksud rangkai kata- berikan maksud berdasarkan dalam petikan soalan.Biasanya 2 patah perkataan sahaja. Jawapan pelajar mesti 2 patah perkataan juga. 2 markah )
Contoh jawapan :
1. Berikan maksud masa senggang?
Maksud masa senggang ialah waktu lapang . (2 markah).
Soalan 2. Soalan pemahaman berdasarkan petikan. Jawapan pelajar mesti berdasarkan petikan dan pelajar perlu mencari jawapan dalam petikan tersebut. Antara soalan ialah Nyatakan 2 kesan/cara/faktor/kaedah/ dll- pelajar mesti kemukakan 2 jawapan yang tepat. ( 4 markah )
Contoh soalan dan jawapan
2. Jelaskan pandangan sesetengah pihak yang kurang bersetuju tentang pemberian kerja rumah kepada murid-murid.
Pandangan sesetengah pihak yang kurang bersetuju tentang pemberian kerja rumah kepada murid-murid ialah kerja rumah dikatakan merompak masa anak-anak untuk berkembang dari segi jasmani.
Selain itu, kerja rumah dikatakan menyusahkan ibu bapa kerana mereka terpaksa menghabiskan banyak masa untuk membimbing anak-anak membuat kerja rumah.
Soalan 3. Soalan pemahaman yang memerlukan pelajar memberikan pendapat atau penjelasan berdasarkan pemahaman terhadap petikan. Jawapan jangan ditiru/diambil berdasarkan petikan. Contoh soalan ialah Berikan pendapat anda…….. 2 isi perlu dikemukakan. ( 4 markah ).
Contoh soalan dan jawapan
3. Pada pendapat anda, selain menyiapkan kerja rumah, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh murid untuk berjaya dalam pelajaran?
Pada pendapat saya, selain menyiapkan kerja rumah. Usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh murid untuk berjaya dalam pelajaran ialah memberi tumpuan semasa guru mengajar di dalam kelas.
Selain itu, murid harus mengikuti program motivasi dan teknik belajar dengan baik untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
BAHAGIAN B ( Karangan Bahan Rangsangan ).
- Jumlah perkataan- Tidak melebihi 120 patah perkataan . ( tulis di bahagian bawah sebelah kanan ).
- Perenggan- 5 perenggan.
1 Perenggan- Pendahuluan.
3 Perenggan- Isi/huraian
1 Perenggan- Penutup.
- Jumlah isi- 3 isi sahaja.
- Sintaksis- ringkas & padat.
- Mesti ada 3 penanda wacana atau lebih
( Selain itu, Sehubungan dengan itu, Justeru dll ).
- Pemarkahan – pemeriksaan keseluruhan dan markah karangan akan ditentukan
berdasarkan gred markah yang telah ditetapkan.
- Kesalahan tatabahasa akan menyebabkan markah pelajar akan ditolak.
- Ciri-ciri karangan yang cemerlang ( Peringkat Cemerlang iaitu 16- 20 markah ).
- Ayat yang gramatis.
- Kosa kata yang luas dan tepat.
- Tiada kesalahan ejaan dan tanda baca.
- Hanya kesalahan minimum pengunaan kata.
- Isi menepati kehendak soalan
- Huraian isi matang dan berkembang.
- Pengolahannya yang menarik dan berkesan.
PEMBINAAN KARANGAN BAHAN RANGSANGAN
- Cara membuat pendahuluan. ( 2&3 ayat sahaja ).
Hendaklah membincangkan tajuk bahan rangsangan yang diberikan.
Mesti menyentuh pernyataan tentang tajuk bahan rangsangan dan isu yang berkaitan dengan kehendak soalan.
b. Cara menulis isi karangan.
Setiap perenggan mesti ada ISI UTAMA + ISI SAMPINGAN + CONTOH.
Setiap perenggan mesti ada pertalian dengan menggunakan penanda wacana.
c. Cara penulisan penutup.
Buatlah rumusan berserta cadangan, pandangan, bagi keseluruhan isi yang terkandung dalam dalam tajuk bahan rangsangan.
BAHAGIAN C ( KARANGAN UMUM ) 40 MARKAH.
- Jumlah perkataan- Melebihi 180 patah perkataan . ( tulis di bahagian bawah sebelah kanan ).
- Perenggan- 5/6 perenggan.
1 Perenggan- Pendahuluan.
4 Perenggan- Isi/huraian/contoh/bukti- angka,pendapat tokoh,hasil kajian dll
1 Perenggan- Penutup.
- Jumlah isi- 3 / 4 isi sahaja.
- Sintaksis- ringkas & padat.
- Mesti ada 3 penanda wacana atau lebih
( Selain itu, Sehubungan dengan itu, Justeru, Di samping itu, dll ).
- Pemarkahan – pemeriksaan keseluruhan dan markah karangan akan ditentukan
berdasarkan gred markah yang telah ditetapkan.
- Kesalahan tatabahasa akan menyebabkan markah pelajar akan ditolak.
PEMBINAAN KARANGAN.
Contoh Soalan – Kejadian tanah runtuh yang berlaku di negara kita telah banyak mengorbankan nyawa manusia. Huraikan cara-cara untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh berulang.
i. Cara menulis pendahuluan.
- Pastikan 1 perenggan sahaja.
- Gambaran awal tentang karangan yang hendak ditulis.
- Mecetuskan isu yang hendak dikemukakan dengan pernyataan yang merangsang pemikiran dan menarik perhatian pemeriksa.
- Boleh selitkan pendapat tokoh ternama, bukti dan angka sesuatu peristiwa, persoalan berjawab dll.
Contoh pendahuluan-
Kejadian tanah runtuh yang berlaku di negara kita acap kali mendatangkan kerugian. Banyak nyawa yang terkorban dan harta benda musnah ditimpa tanah runtuh. Sikap suka menuding jari menyalahkan pihak lain adalah perkara biasa jika kejadian seumpama ini berlaku. Siapakah yang patut dipersalahkan dalam hal ini? Semua pihak harus memain peranan masing-masing dalam menanggani masalah ini. Hal ini menyebabkan pihak berkuasa digesa untuk mencari jalan yang sesuai bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh berulang.
ii. Cara menulis isi karangan.
- Setiap perenggan mesti ada ISI UTAMA + ISI SAMPINGAN + CONTOH.
- Setiap perenggan mesti ada pertalian dengan menggunakan penanda wacana.
- Pastikan tidak berlaku pengulangan isi.
- Formula ( Isi Utama + Mengapa / Bagaimana + Kesan/ Contoh )
Contoh Isi karangan
Selain itu, pembinaan rumah atau bangunan di kawasan lereng bukit perlulah dilarang. Hal ini demikian kerana tanah di kawasan tersebut mudah runtuh akibat hakisan tanah. Perkara ini membahayakan nyawa sesiapa saja yang tinggal di kawasan tersebut. Hal ini dapat dibuktikan dengan kejadian runtuhnya Highland Tower yang mengorbankan banyak nyawa. Yang terbaharu, kejadian di Bukit Antarabangsa tahun 2009 juga telah merosakkan banyak harta benda.
iii. Cara menulis penutup karangan
- Buat satu rumusan atau kesimpulan yang anda huraikan.
- Jangan ulangi fakta yang telah anda gunakan dalam perenggan isi.
- Formula ( Rumusan utama + Bagaimana + Kesan )
Contoh- Kesimpulannya, ( RUMUSAN UTAMA ). kerjasama semua pihak diperlukan untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh . ( BAGAIMANA ). Masyarakat perlu memupuk kesedaran terhadap pentingnya pemuliharaan alam sekitar. ( KESAN )Usaha ini diharapkan dapat mencegah kejadian tanah runtuh daripada berulang lagi pada masa akan datang.
Soalan karangan yang popular.
- Soalan berbentuk pengalaman seseorang- aktiviti di sekolah.
- Surat Rasmi dan Tidak Rasmi.
- Karangan Laporan.
- Karangan Perbincangan/Pendapat.
- Karangan Bertajuk Peribahasa.
- Karangan Cereka/keperihalan.
- Karangan Syarahan/perbahasan
Soalan yang ditanya merangkumi diri sendiri,keluarga,sekolah,masyarakat dan negara.
Perkara yang perlu diberi perhatian semasa menulis karangan
- Adakah menjawab soalan?
- Adakah isi/idea relevan atau tepat?
- Adakah bahasa sesuai atau tidak?
- Adakah pengolahan menarik atau tidak?
Topik yang perlu diketahui dan dikuasai
i. Kemasyarakatan
ii. Pendidikan
iii. Akhlak dan disiplin remaja
iv. Sains dan teknologi
BAHAGIAN D ( KOMSAS ) 10 MARKAH.
- Jumlah isi- 3 isi sahaja. 1 isi = 2 markah.
- Perenggan- 3 perenggan.
- Setiap isi wajib/mesti disertai dengan huraian atau contoh.
PENTING !!!!! Tanpa contoh tiada markah.
- Permarkahan- Isi ( 6 markah )
- Bahasa ( 4 markah ).
5. Topik penting dalam Komsas
1. Huraikan tema yang terdapat dalam novel yang anda kaji ( 10 markah )
2. Jelaskan persoalan-persoalan yang terkandung dalam novel yang anda kaji
( 10 markah ).
3. Huraikan perwatakan watak utama dalam novel yang anda kaji. ( 10 markah ).
Bandingkan perwatakan watak utama dengan watak sampingan dengan memberikan
contoh yang sesuai. ( 10 markah ).
4. Huraikan mesej/amanat/pengajaran yang anda peroleh dalam novel yang anda kaji
( 10 markah ).
5. Nyatakan nilai-nilai kemanusiaan yang anda ketahui dan huraikan dengan memberi contoh yang sesuai ( 10 markah ).
- Jelaskan citra masyarakat yang terkandung dalam novel yang anda kaji 9 10 markah ).
- Huraikan citra wanita yang dapat dilihat dalam novel yang anda kaji ( 10 markah ).
- Nyatakan gaya bahasa yang terdapat dalam novel yang anda kaji dan nyatakan contoh yang sesuai ( 10 markah )
- Jelaskan apakah yang dimaksudkan dengan latar dan huraikan jenis latar yang anda ketahui ( 10 markah ).
- Jelaskan teknik plot yang anda peroleh dalam novel yang anda kaji ( 10 markah ).
FORMULA MENJAWAB SOALAN KOMSAS
( BARNIAT YANGHORJIN )
BAR = SABAR
NI= BERANI
AT= TAAT
YANG= SAYANG
HOR= HORMAT
JIN= RAJIN.
Novel yang saya kaji ialah Novel Ekspedisi karya Mohd. Ghazali Tocheh. Persoalan-persoalan yang terdapat dalam novel ini antaranya persoalan kesabaran menghadapi cabaran hidup. Hal ini dapat dibuktikan melalui watak Hadi yang sabar menghadapi karenah bapanya Pak Salleh yang begitu membenci Cikgu Murad sehingga sanggup menuduh Cukgu Murad sebagai penjenayah.
Selain itu, Persoalan keberanian menghadapi pelbagai rintangan dan halangan hidup. Hal ini dapat dibuktikan pada watak Hadi yang amat berani menghadapi bahaya bermalam berhampiran sungai ketika mengikuti ekspedisi Gunung Itik dan ketika hampir bertembung dengan seekor harimau di dalam hutan.
Dalam pada itu, ketaatan kepada orang tua antara persoalan yang terdapat dalam novel ini. Hal ini dapat pada watak Hadi yang taat kepada orang tuanya Pak Salleh dan Mak Jamilah supaya belajar dengan bersungguh-sungguh..Begitu juga Hadi taat kepada arahan Pak Musa semasa berada di dalam hutan ketika mendaki Gunung Itik.
Persoalan hormat kepada guru dan orang yang lebih tua. Hal ini dapat dilihat pada watak Hadi yang menghormati gurunya iaitu Cikgu Murad dengan mematuhi nasihatnya.Hadi juga hormat akan ibu bapa Pak Salleh dan Mak Jamilah dengan tidak meninggikan suara semasa bercakap.
Persoalan kerajinan dalam menjalankan tugas. Hal ini dapat dibuktikan pada watak Hadi yang rajin membantu ibu bapa dengan membasuh pinggan selepas makan. Hadi juga rajin membuat kerja sekolah dan mengikuti aktiviti di sekolah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan