Jumaat, 4 April 2014

SPM / STPM : KARANGAN : Langkah-Langkah Mengatasi Masalah Penderaan Kanak-Kanak Dan Masalah Pembuangan Bayi

Langkah-Langkah Mengatasi Masalah Penderaan Kanak-Kanak Dan Masalah Pembuangan Bayi

Dalam meniti kehidupan pada marcapada ini,gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak amat berleluasa di negara kita, Malaysia. Namun,gejala-gejala tersebut bukan lagi isu yang hangat lagi kerana telah menjadi kebiasaan bagi rakyat negara ini. Hampir setiap hari media massa memaparkan berita yang berkaitan dengan gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak,tidak ketinggalan juga di corong-corong radio tempatan yang juga sering menyampaikan masalah-masalah tersebut. Namun, golongan yang tidak bertanggungjawab tersebut masih tidak mempunyai kesedaran serta perasaan malu apabila berita-berita  sedemikian disebarkan sehingga setiap lapisan masyarakat menyaksikan perbuatan kejam yang telah mereka lakukan ke atas golongan yang tidak berdosa ini. Walaupun mereka telah ditangkap dan dipenjarakan sehingga terdapat kes yang membawa mereka untuk dijatuhkan hukuman sampai mati. Hal ini jelas menunjukkan hanya manusia yang tidak mempunyai nilai moral yang boleh bertindak kejam seperti binatang yang tidak mempunyai akal fikiran seperti manusia.Bak kata pepatah ‘’janganlah sudah terhantuk baru tergadah’’.

   Pelbagai pihak telah bersinergi untuk menangani masalah tersebut daripada berlaku,  namun tetap menghampakan kerana  tidak begitu efektif. Hal ini terbukti apabila gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak semakin meningkat dari hari ke hari sehingga tahap yang kritikal. Bagi membendung masalah-masalah seperti ini daripada terus menular dalam kalangan golongan yang tidak bertanggungjawab ini, masyarakat sendiri haruslah memainkan peranan mereka untuk membantu mengatasi gejala-gejala tersebut. Masyarakat haruslah membuang sikap “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” dengan mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan keadaan di sekeliling mereka. Oleh sebab itu, masyarakat haruslah menanamkan sikap “jaga tepi kain orang” untuk mengetahui apa yang telah berlaku di sekeliling mereka terutamanya dalam usaha membendung gejala-gejala sosial tersebut daripada berlaku dalam kalangan remaja ataupun muda-mudi pada zaman moden ini. Sementelahan pula, masyarakat haruslah mempunyai semangat kejiranan yang tinggi. Hal ini amat penting bagi mereka untuk saling mengambil berat serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim.Tambahan pula, perpaduan antara masyarakat dapat dikukuhkan lagi. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu membanteras gejala sosial daripada berlaku kerana adanya semangat bersatu-padu dalam kalangan masyarakat.

    Selain itu,masyarakat juga haruslah memainkan peranan mereka dalam mendidik anak-anak mereka sejak dari kecil lagi. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini amat penting bagi mendidik anak-anak mereka dari kecil supaya dapat membezakan antara kebaikkan dan keburukkan dalam melakukan sesuatu tindakan. Hal ini penting bagi ibu bapa untuk memainkan peranan mereka. Bagi sesiapa yang bergelar ibu dan bapa kapada anak-anak mereka, wajarlah mereka bersikap tegas terhadap anak-anak supaya mereka mempunyai tahap disiplin yang tinggi serta rasa hormat dan taat kepada orang tua tersemai dalam diri mereka. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dalam pergaulan sosial yang melampau seperti pergaulan bebas daripada berlaku. Justeru, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mengawal segala aktiviti harian anak-anak mereka dengan lebih ketat. Di samping itu, ibu bapa sendiri haruslah menjadi teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana remaja mudah terpengaruh dengan faktor persekitarannya. Bak kata pepatah “bagaimana acuan begitulah kuihnya”. Oleh sebab hal yang demikian, ibu bapa haruslah mempunyai pendidikan keagamaan yang kukuh supaya dapat disemaikan dalam diri anak-anak mereka. Pendidikan keagamaan merupakan satu langkah yang terbaik dalam mencegah segala perbuatan negatif yang menyumbang kepada gejala pembuangan bayi aakibat pergaulan seks bebas dalam kalangan golongan yang tidak bermoral ini.

   Dalam usaha membanteras kes penderaan kanak-kanak daripada berlaku,peranan masyarakat haruslah diutamakan. Masyarakat haruslah sentiasa peka dengan keadaan di sekelilingnya. Jika mendapati terdapat salah seorang jiran yang melakukan penderaan terhadap anak-anak, mereka haruslah segera melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis secepat yang mungkin tanpa mempedulikan ancaman daripada jiran mereka. Selain itu, pengawalan keselamatan di sekeliling kediaman penduduk haruslah diperketatkan. Hal ini amatlah penting bagi memastikan tidak ada seorang pun yang berani membuang bayi secara sesuka hati serta dapat memastikan kanak-kanak mendapatkan perlindungan daripada didera serta disakiti oleh mana-mana pihak yang tidak bermoral itu. Dalam usaha ini, penduduk setempat sendiri haruslah melakukan rondaan secara bergilir-gilir untuk memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini serta mencurigakan daripada berlaku.

   Akhir sekali, masyarakat haruslah menanamkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian serta amalkan gaya hidup sihat. Masyarakat juga haruslah mempunyai kesedaran yang tinggi tentang natijahnya jika terlibat dengan gejala-gejala negatif seperti gejala pembuangan bayi akibat perhubungan yang terlanjur dan tidak ingin mempunyai anak haram serta dipandang hina oleh orang lain sehingga menemui jalan buntu iaitu membuang bayi yang tidak berdosa tersebut di merata-rata tempat. Sebaliknya masyarakat haruslah melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah yang telah dianjurkan oleh pihak kerajaan mahupun swasta seperti Kempen Membanteras Gejala Pembuangan Bayi. Hal ini dapat mendedahkan natijah yang akan diperoleh seandainya terjerumus dengan perbuatan negatif tersebut. Dengan adanya kesedaran yang tinggi, masyarakat secara automatik akan menjauhkan diri daripada terlibat dengan sebarang gejala sosial. Hal ini akan menurunkan kadar gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak.

   Sebagai intihanya, masyarakat haruslah bersinergi dengan pelbagai pihak dalam usaha menangani gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak daripada berlaku serta mencari resolusi hingga ke akar umbi supaya gejala buruk ini dapat dibanteras dan dihalang daripada terus membelenggu setiap lapisan masyarakat di negara ini. Bak kata pepatah sikap bagai aur dengan tebing haruslah diamalkan antara satu sama lain. Hal ini penting bagi menjadikan negara kita bebas daripada gejala buruk supaya pembangunan negara tidak terjejas disebabkan oleh segelintir masyarakat yang tidak bermoral ini. Tambahan pula, matlamat negara untuk mencapai Wawasan 2020 akan direalisasikan serta imej negara dipandang tinggi di mata dunia.

SPM : Karangan Jenayah Cetak Rompak : Punca, kesan, dan cara mengatasinya.


PENGENALAN

         Jenayah cetak rompak sering kali kita dengar dan lihat melalui media massa mahupun media cetak. Tidak kira golongan mana yang acap kali terlibat dengan jenayah ini hakikatnya masyarakat kita pada masa kini secara tidak langsung telah terperangkap dengan jenayah cetak rompak. Hampir saban hari kita disajikan dengan berita-berita yang berkaitan dengan cetak rompak. Cetak rompak didefinisikan sebagai perbuatan menggunakan bahan yang dilindungi oleh undang-undang hakcipta tanpa kebenaran. Perbuatan seperti itu diklasifikasikan sebagai satu tindakan yang mencabul salah satu hak eksklusif pemilik hakcipta asli.
Cetak rompak juga dikenali sebagai perbuatan menerbitkan semula sebahagian atau kesemua hasil karya asli individu lain. Membuat salinan kepada pelbagai bentuk sama ada cara mengambil gambar, membuat salinan secara elektronik atau komputer, fotostat, rakaman video, rakaman suara, menaip semula atau diubah kepada bentuk PDF. Selain itu, cara menyalin kandungan dan menjual semula karya tersebut dengan tajuk lain yang berbeza juga dikenali sebagai cetak rompak. Dalam erti kata lain, cetak rompak bermaksud mengambil atau menggunakan hasil kerja orang lain dan menjadikannya sebagai hak milik sendiri. Kejadian seperti ini memang selalu terjadi tidak kira di peringkat bawahan, amatur malahan di peringkat professional pun kadangkala terjadi. Kesemua tindak seperti ini adalah dikategorikan sebagai perbuatan meniru atau mencetak rompak hakcipta pihak lain.

         Kegiatan cetak rompak memang sukar untuk dihalang atau dielakkan kerana tidak ada lagi cara yang berkesan. Perbuatan mencetak laman web sebagai contoh adalah satu tindakan yang boleh memalukan diri sekiranya meniru atau merompak laman web yang yang sudah terkenal. Hakikatnya orang ramai sudah semestinya pandai menilai yang mana satu tulisan dan sebaliknya. Jika mengambil idea serba sedikit dan mengolahkanya untuk dijadikan hasil kerja sendiri adalah tidak mengapa, tetapi yang menjadi kesalahan ialah apabila idea itu diambil seratus peratus.




PUNCA BERLAKU JENAYAH CETAK ROMPAK

          Dari perspektif undang-undang, cetak rompak juga membawa maksud aktiviti penyalinan, pengedaran dan penggunaan produk harta intelek secara haram tanpa izin pemegang hakcipta bagi harta intelek tersebut. Dalam erti kata lain individu tersebut telah menyalin semula hasil karya asli individu lain. Kegiatan cetak rompak adalah merupakan satu kesalahan menurut Akta Hakcipta 1987. Harta intelek bemaksud sebarang produk dan hasil dan hasil karya yang didaftarkan hakciptanya seperti buku, muzik, filem, siaran televisyen dan radio, perisian komputer serta reka bentuk industri. Secara keseluruhannya harta intelek dilindungi oleh Akta Hakcipta 1987.

        Terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti sebagai punca berlakunya jenayah cetak rompak dalam kalangan masyarakat pada masa kini. Antara faktor yang menyebabkan menularnya jenayah ini adalah kurangnya kesedaran dalam kalangan pengguna mengenai harta intelek. Masyarakat pengguna tidak menyedari akan kesan buruk yang bakal berlaku ekoran daripada perbuatan mencetak rompak. Dalam keghairahan mereka melakukan perbuatan tidak bermoral itu, terdapat individu lain mengalami penderitaan yang tidak terkira pedihnya. Individu yang dimaksudkan ialah pengkarya asli yang ditiru hasil karya mereka oleh individu tidak bertanggungjawab.

         Selain itu, sikap tamak haloba dalam kalangan masyarakat khususnya pengusaha produk cetak rompak haram. Bagi pengusaha haram, kegiatan penjualan cetak rompak boleh mendatangkan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada mereka. Tambahan pula pengusaha haram ini juga menikmati ihsan barang tulennya dari segi publisiti dan iklan. Mereka juga dikecualikan untuk membayar royalti kepada pihak pereka atau pencipta asal. Oleh itu, mereka menikmati keuntungan yang besar walaupun mutu dan prestij barang sebenarnya sudah diketahui umum.

       Di samping itu juga, kelonggaran penguatkuasaan undang-undang juga dikenali sebagai penyumbang kepada menularnya jenayah cetak rompak dalam kalangan masyarakat pada masa kini. Bukan sahaja kelonggaran sistem undang-undang sedia ada punca masalah ini malah ianya sedikit sebanyak berlaku akibat sikap masyarakat yang tidak mengambil peduli kesan buruk perbuatan mencetak rompak kepada individu lain. Walaupun beberapa dasar serta undang-undang telah digubal bagi membanteras masalah cetak rompak, namun terdapat segelintir masyarakat yang tidak memperdulikan larangan tersebut. Masih ramai individu yang tanpa segan silunya melakukan perbuatan keji itu walaupun menyedari akan kewujudan undang-undang keras daripada kerajaan.

        Selain itu, cetak rompak juga berpunca daripada permintaan yang tinggi terhadap barangan cetak rompak. Walaupun para pengguna menyedari bahawa barangan cetak rompak tidak tulen, namun pengguna gemar untuk membeli ekoran daripada harganya yang murah berbanding dengan barangan yang asli. Di samping itu, hal ini dapat memenuhi cita rasa pengguna yang kurang mampu untuk membeli atau mendapatkan barangan asli. Bagi pihak pengguna sebagai contoh mereka lebih suka menggunakan barangan perisian komputer. Hal ini kerana barangan tersebut adalah sangat mahal di pasaran. Oleh yang demikian para pengguna lebih suka mendapatkan barangan tiruan atau cetak rompak kerana ianya lebih murah dan senang untuk didapatkan.

         Kecanggihan sains dan teknologi juga merupakan punca mendorong berlakunya jenayah cetak rompak. Zaman moden ini, alatan berteknologi canggih membolehkan barangan tulen dihasilkan. Melalui peralatan yang canggih ini tanpa kita sedari peralatan tiruan dapat dihasilkan pada masa yang sama. Oleh itu, kita sukar untuk membezakan barangan yang tulen dengan barangan tiruan. Malah bukti barangan cetak rompak atau tiruan boleh dimusnahkan dengan wujudnya kecanggihan teknologi masa kini.

          Selain itu, jenayah cetak rompak juga berlaku akibat daripada sikap masyarakat khususnya pengguna yang sentiasa menginginkan barangan yang murah tanpa mengambil kira barangan tersebut tulen atau palsu. Yang penting kepuasan kerana mampu memiliki barangan yang seakan-akan barang tulen. Di samping itu juga masyarakat pada masa kini lebih cenderung untuk tidak mengutamakan kualiti barangan yang dibeli. Yang penting kepuasan bersarang di minda mereka adalah sangat memadai. Hal ini menyebabkan berlakunya penularan jenayah cetak rompak kerana sikap serta tindakan masyarakat yeng sedemikian rupa menjadi pembakar semangat untuk para pengusaha cetak rompak meluaskan lagi aktiviti mereka. Peluang tersebut juga diaplikasikan oleh mereka untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda. Namun di sebalik keuntungan dan kesenangan yang diraih, tanpa mereka sedari ramai dalam kalangan individu lain yang tertindas akibat perbuatan tamak sesetengah pengusaha.

IMPAK/KESAN KEGIATAN CETAK ROMPAK

         Kegiatan cetak rompak akan merugikan pihak pengeluar yang sah. Dalam erti kata lain pihak yang memiliki karya asli yang sah akan mengalami kerugian akibat daripada perbuatan tamak para pengusaha cetak rompak yang tidak pernah puas. Impak atau kesan negatif yang paling ketara dalam masalah ini ialah syarikat rakaman video dan lagu kaset yang sah. Segala usaha dan penat lelah mereka adalah sangat tidak berbaloi atau sia-sia. Segala usaha dan titik peluh mereka tidak mendatangkan sebarang keuntungan akibat daripada wujudnya jenayah cetak rompak. Di samping itu, sebagai contoh artis seni suara dan seni lakon tidak dapat menikmati hasil penat lelah mereka setelah bekerja keras untuk menghasilkan sebuah karya yang original atau tulen. Jika dilihat secara menyeluruh dari pelbagai aspek mahupun beberapa sudut pandangan, bukan pengeluar sahaja yang mengalami kerugian ekoran daripada cetak rompak malah pakar perisian komputer  juga turut mengalami kerugian yang sama.

         Selain itu, kesan negatif yang bakal dialami ekoran daripada cetak rompak ialah aktiviti atau iklim pelaburan negara kita akan terjejas. Apabila masalah ini semakin berleluasa, para pengusaha teknologi maklumat tidak mahu melabur di negara kita lagi. Hal ini berlaku kerana kos pelaburan adalah sangat tinggi tetapi pulangan tidak meyakinkan. Lebih malang lagi kemungkinan para saintis juga tidak begitu giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan di negara kita amnya. Kebimbangan juga menghantui fikiran mereka berhubung karya atau hasil usaha mereka akan dicetak rompak dengan mudah.

         Kesan negatif yang mungkin berlaku akibat daripada penularan jenayah cetak rompak di negara kita ialah mutu perfileman negara akan terjejas. Apabila perbuatan cetak rompak semakin berleluasa, maka mutu sektor yang berkaitan dengan cetak rompak akan turut tejejas. Hal ini kerana masalah daripada barangan cetak rompak akan menyebabkan barangan yang original akan menerima tempias yang sama apabila barangan cetak rompak mengalami kerosakan.

        Turut menerima kesan yang sama ialah ekonomi negara akan terjejas ekoran daripada berlakunya jenayah cetak rompak. Hal ini dapat kerana masyarakat akan mengalihkan perhatian mereka untuk membeli barangan tiruan atau cetak rompak. Akibatnya barangan original tidak akan dipandang. Tuntasnya berlaku kerugian yang amat besar kepada ekonomi negara. Barangan cetak rompak pada amnya menyebabkan masyarakat di negara kita akan membeli barangan tersebut lantaran harganya yang murah. Hal ini menyebabkan negara kita mengalami kurangnya pendapatan ekoran daripada sikap pengusaha cetak rompak dan haram ini yang hanya mementingkan diri sendiri. Perbuatan tersebut juga akan turut menyebabkan kestabilan ekonomi negara tidak konsisten.

CARA MENGATASI
        Walau bagaimanapun, terdapat beberapa cara drastik yang boleh diambil bagi menangani maslaha ini. Antaranya ialah penguatkuasaan undang-undang. Usaha menangani cetak rompak juga boleh dilakukan dengan cara penguatkuasaan undang-undang oleh pihak kerajaan. Serbuan serta tangkapan yang kerap sebagai contohnya boleh dilakukan tanpa mengira musim. Jika kita lihat dari segi akta, akta Hak cipta 1987 dan akta perihal dagangan 1972 perlu dipinda agar penjenayah profesional ini menerima hukuman yang setimpal. Dengan cara sedemikian, mereka akan gentar untuk memulakan kegiatan ini. Mereka yang ditangkapa juga akan wujud sinar keinsafan di hati mereka.

        Perubahan sikap masyarakat juga membantu dalam menangani masalah tersebut. Usaha menyekat gejala cetak rompak ini akan menjadi lebih berkesan seandainya wujud kesedaran dalam kalangan masyarakat sejagat khususnya anggota penguatkuasa. Mereka yang insaf dengan tanggungjawab dan amanah ini tidak akan mudah tewas dengan sebarang bentuk suapan atau rasuah serta pujuk rayu. Bagi memantapkan lagi sistem pentadbiran dan kualiti kerja anggota penguatkuasa maka sebarang bentuk kempen kesedaran wajar diadakan. Melalui kempen kesedaran seperti itu, penularan jenayah cetak rompak dalam kalangan masyarakat negara kita akan dapat dikurangkan.

       Membina pusat cetak rompak dalam ngara kita juga dilihat suatu langkah yang paling wajar bagi membendung berleluasanya jenayah berkaitan cetak rompak yang dilihat semakin meruncing. Mencetak di dalam negara sendiri akan mengurangkan harga barangan tulen dan asli. Harga yang berpatutan akan menggalakan pembeli memilih barangan tulen berbanding dengan barangan tiruan. Kos yang tidak membebankan akan menyatakan mereka akan mengalami kerugian kerana harga yang rendah tidak mampu member keuntungan yang setimpal dengan pelaburan mereka. Tetapi dalam jangka masa yang panjang, langkah seperti ini tetap tidak akan merugikan. Hal ini demikian kerana jumlah penjualan akan meningkat dan pada masa yang sama keuntungan akan turut meningkat.

         Melaksanakan hukuman penjara mandatori, mungkin ramai dalam kalangan masyarakat negara kita yang tidak bersetuju dengan cadangan hukuman tersebut. Namun hakikatnya langkah serta tindakan seperti ini adalah merupakan satu langkah yang paling sesuai bagi membendung penularan jenayah cetak rompak yang semakin menjadi-jadi dan merugikan banyak pihak. Langkah yang tegas ini adalah untuk membanteras gejala cetak rompak. Mana-mana individu yang ditangkap dan didakwa melakukan perbuatan tersebut akan dikenakan tindakan tersebut. Hal ini juga dilihat mampu membantu pihak kerajaan untuk menangani jenayah cetak rompak.

PENUTUP
          Jenayah cetak rompak adalah sejenis perbuatan yang merugikan banyak pihak khususnya pihak yang memiliki hasil karya asal. Oleh yang demikian, semua pihak harus perlu terlibat sama dalam menangani jenayah cetak rompak daripada terus berleluasa dan parah saban hari. Jika masyarakat sejagat hanya mampu berpeluk tubuh dan tidak mengambil sebarang langkah maka perkembangan seni tanah air mahupun industri lain akan malap serta mengalami kerugian yang besar. Justeru, harapan kepada mereka yang melakukan dan terlibat dengan kegiatan cetak rompak agar berubah dan segera insaf akan kesalahan yang dilakukan kerana perbuatan serta tindakan seperti itu hanya merugikan pelbagai pihak dan negara khususnya. Sesungguhnya melakukan perbuatan mencetak rompak adalah satu tindakan yang amat keji dan dipandang hina oleh masyarakat.